Dipetik daripada Harakah Daily.....
___________________________________________________
Wakil rakyat PAS potong elaun 25 peratus sejak 18 tahun lalu
Lanjusoh Tue Jun 10, 08 6:14:58 pm MYT
TUMPAT, 10 Jun (Hrkh) ? Mungkin bagi pemimpin Umno pengumuman pemotongan elaun jemaah menteri sebanyak 10 peratus merupakan sesuatu yang luar biasa ketika krisis harga minyak sekarang.
Sedangkan di Kelantan elaun wakil rakyat dipotong sebanyak 20 peratus sejak 18 tahun lalu. Itu belum lagi diambil kira potongan sebanyak lima peratus bagi Tabung Serambi Mekah yang dibuat setiap bulan.
Ini bermakna elaun setiap wakil rakyat PAS di Kelantan dipotong sehingga 25 peratus.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub berkata, bagi kakitangan lantikan politik seperti penghulu, ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan Unit Dakwah Halaqat juga dipotong sebanyak lima peratus setiap bulan.
?Pemotongan itu dibuat sejak lebih 18 tahun lalu, bukan sekadar ketika krisis kenaikan harga minyak sekarang,? katanya ketika ditemui di rumahnya di Alor Pasir, hari ini.
Semalam Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan elaun keraian Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri dan timbalan menteri dipotong sebanyak 10 peratus berkuatkuasa 1 Julai depan.
Menurut Perdana Menteri pemotongan itu dibuat bagi meringankan beban rakyat ekoran kenaikan begitu tinggi harga minyak sekarang.
Ahmad berkata, pemotongan yang serupa juga melibatkan semua anggota-anggota Parlimen PAS sebagai usaha menjaga kebajikan rakyat dan parti.
?Selepas wakil-wakil rakyat PAS diisytihar menang dalam pilihan raya mereka akan diberi borang khas untuk diisi bagi pemotongan elaun bulanan yang diterima mereka.
?Perkara itu bukan baru sebaliknya sudah lebih 18 tahun lalu ketika kerajaan PAS mula-mula berkuasa di Kelantan selepas pilihan raya umum 1990,? ujarnya.
Sebagai contohnya katanya, elaun bulanan beliau sebagai Timbalan Menteri Besar dipotong sebanyak RM2,800 sebulan iaitu untuk Tabung Serambi Mekah dan kebajikan rakyat.
Menurutnya polisi itu ditetapkan PAS sebagai langkah awal untuk menjaga kebajikan rakyat dan melaksanakan aktiviti parti.
Kata beliau juga Menteri Besar dan anggota Exco di Kelantan tidak mempunyai banyak elaun keraian seperti dinikmati jemaah menteri.
Malah katanya, elaun mesyuarat anggota Exco sebanyak RM100 bagi setiap kali mesyuarat tidak pernah diambil anggota Exco di Kelantan sejak dahulu lagi.
?Ini kerana kita berpendapat sudah menjadi tugas setiap anggota Exco menghadiri mesyuarat dan ia tidak perlu lagi dibayar elaun, biar pun tidak diamalkan di negeri-negeri lain,? katanya.
Beliau juga memberitahu elaun bulanan wakil rakyat di Kelantan tidak dinaikkan sejak beberapa tahun lalu, biar pun Parlimen dan negeri lain sudah dua kali menaikkan kadar elaun bulanan.
Timbalan Menteri Besar berkata, biar pun ada suara-suara supaya kerajaan negeri menimbangkan semula kadar baru elaun setiap Adun, namun cadangan itu tidak dipertimbangkan kerana memikirkan kebajikan rakyat.
Ahmad kelihatan semakin sihat selepas diserang sakit jantung pada 24 Mei lalu. Sebelum ini beliau mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia hampir seminggu.
Ekoran itu beliau diberi cuti rehat sehingga akhir bulan ini.
Pagi tadi beliau juga dikunjungi Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang baru kembali daripada menunaikan ibadat umrah di Makkah malam tadi.
3 comments:
mesti wakil rakyat BN tu tak puas hati elaun kena potong..hehehe..rasakan.
bie.
kalau depa berani, depa patut potong gaji laa...baru best :)
13may: betul tu!!! .. hang je la bertanding untuk PRU13.. penyokong sure ada :-P
-naylah
Post a Comment